Mamadou Sakho menggesa Liverpool agar meleburkan rekod mengagumkan Manchester City di laman sendiri dengan memburu kemenangan di Stadium Etihad dalam perlawanan yang akan berlangsung pada Boxing Day, Jumaat ini.
Kali terakhir City tewas di padang sendiri ialah ketika mereka kalah kepada Norwich City 2-3 pada perlawanan terakhir kempen 2012/13, Mei lalu.
Skuad bimbingan, Manuel Pellegrini sejak itu melakar kemenangan dalam setiap pertemuan yang berlangsung di depan penyokong sendiri, musim ini setelah meledakkan 32 gol dalam lapan perlawanan.
Bagaimanapun, bek tengah Liverpool, Sakho tidak gentar dengan statistik tersebut dan dia menegaskan, rekod yang dimiliki City itu bakal dipecahkan oleh Reds.
"Memang hebat jika mereka memiliki rekod yang cemerlang di laman sendiri, tetapi bola sepak pada hari ini lebih banyak bergantung kepada prestasi semasa sesebuah pasukan.
"Apa yang menjadi keutamaan kepada kami ialah keyakinan dan percaya kepada diri sendiri. Saya berharap kami akan bertandang ke sana dan cuba menamatkan rekod hebat tersebut.
"Sasaran kami ialah untuk cuba mencatat kemenangan dalam semua perlawanan, sama ada pertemuan itu berlangsung di laman kami atau pun di padang lawan.
"Jadi, kami akan mencuba pergi ke sana dan menerapkan keyakinan untuk bersedia berjuang bagi meraih kemenangan. Ia semudah itu. Saya rasa apabila semua orang mempunyai matlamat yang sama, anda mampu mendaki gunung walau setinggi manapun," kata Sakho kepada laman web rasmi kelab itu, Liverpoolfc.com.
Senjata paling bahaya yang dimiliki Liverpool ialah bintang penyerang mereka, Luis Suarez yang kini berada di kedudukan teratas senarai penjaring gol terbanyak Liga Perdana Inggeris setelah meledakkan 19 gol.
Bintang antarabangsa Uruguay itu, dijangka bergandingan dengan, Philippe Coutinho dari Brazil dan pemain remaja England, Raheem Sterling bagi menggempur kubu City dalam usaha mereka memastikan Reds kekal berada di tangga teratas carta liga.
No comments:
Post a Comment